Izinkan Aku -6-
Mei 8, 2008
“Kalau nak jamming kat sini, boleh la bagi special price bang.”
“Off course la, kau datang je, nak lepak-lepak pun boleh,” aku tersenyum puas melihat susun atur studio aku. Lebih seminggu aku bertungkus-lumus dengan Apek. Aku kenal Apek ketika makan di sebuah restoran selang beberapa buah dari bangunan yang aku sewa ini. Dia bekerja sebagai pembuat air di situ. Gayanya yang mirip Azri membuatkan aku senang berkawan dengannya. Aku meminta bantuan Apek untuk menyiapkan studio baru aku ini.
Perbualan dengan Abang Dik bulan lepas membuka mata aku untuk cuba menguruskan sebuah studio muzik. Dengan duit yang yati berikan pada aku, aku bayar separuh dari harga yang diletakkan oleh Abang Dik dan selebihnya aku bayar beransur-ansur. Aku menyewa bahagian atas sebuah rumah kedai untuk memulakan operasi studio ini. Mujurlah sewanya tidak begitu mahal. Cukuplah juga duit yang diberikan oleh Yati ini. Segala kelengkapan yang Abang Dik tinggalkan aku angkut semua, dan hasilnya, 3 buah bilik yang lengkap untuk aku mulakan perniagaan.
Ketika aku mula-mula berminat dengan muzik dulu, aku memang sudah berangan-angan untuk memiliki studio sendiri. Dan akhirnya, aku berjaya juga. Akan aku cuba teruskan perjalanan hidup aku dengan perniagaan ini. Satu janji aku pada diri sendiri, aku tidak mahu studio ini menjadi sarang remaja-remaja melakukan perkara tidak bermoral seperti yang aku lakukan dulu. Aku tidak mahu lebih ramai lagi remaja hanyut seperti aku. Aku bina studio ini kerana minat aku terhadap muzik. Jadi, aku harap studio ini akan dapat membantu peminat-peminat muzik seperti aku.
—
Suasana di kota memang tidak dapat dielakkan dari pencemaran. Asap-asap kenderaan di sana-sini, namun aku sudah biasa dengan perkara seperti ini. Tapi kali ini aku nikmatinya dengan cara yang berbeza. Jika dulu aku ada kenderaan sendiri, sekarang aku hanya menaiki pengangkutan awam. Aku menunggu bas di perhentian bas tidak jauh dari kedai aku.
Angin senja membawa khayalan kepadaku. Sambil mata aku galak memerhatikan bangunan-bangunan di sekeliling perhentian bas ini, aku terfikir tentang masa depan yang bakal aku lalui. Sebuah bangunan mencakar langit beberapa ratus meter di sebelah aku. Aku tertarik dengan reka bentuknya yang moden. Aku membayangkan jika aku seorang yang berjaya, sudah tentu aku boleh bekerja di bangunan itu dengan pakaian yang kemas dan segak. Tapi, aku adalah aku. Aku yang silap mencorakkan jalan hidup aku sendiri. Kini, aku akan cuba menjadi insan yang lebih berguna.
Satu haruman yang menyenangkan datang menyapa aku dan serta-merta angan-angan aku terhenti. Bau yang sangat mententeramkan. Aku suka bau ini. Aku menoleh ke kanan dan mataku tepat memandang seorang gadis yang sedang tunduk ingin memasuki sebuah kereta. Berbaju kurung putih dan berbunga-bunga biru. Satu kombinasi warna kegemaran aku. Sekali lagi perasaan tertarik dating dalam diri aku. Kereta itu terus hilang dari pandangan aku dan aku terus melayan angan-angan aku.