Izinkan Aku -4-
Mei 6, 2008
Aku menerima sebuah cek dari Yati yang bernilai RM10000. Aku tahu jumlah itu bukan satu yang membebankan untuk Yati. Jumlah itu tidak sampai pun satu persepuluh dari harta peninggalan ayah yang ditinggalkan untuk Yati. Agak berat untuk aku menerima cek itu, namun aku tidak sanggup untuk terus melihat Yati menitiskan air mata. Sepanjang tiga hari aku tinggal bersamanya, matanya sentiasa sembap dan berair. Acap kali Yati bertegang urat dengan Abang Nazmi. Aku tidak mahu menjadi sebab kepada keruntuhan rumah tangga mereka.
“Banyak tu! U dah lupa apa yang dia buat dulu? U nak dia habiskan duit tu dengan dadah?”
Kata-kata Abang Nazmi pagi tadi betul-betul menikam hati aku. Tidak aku sangka, seorang yang sangat berbudi bahasa dan penyayang sebelum ini boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu. Kata-katanya sudah cukup untuk menjelaskan bahwa dia amat jijik dengan aku. Yati tidak mampu berkata-kata lagi. Dia hanya tunduk dan mengesat air mata.
—
Yati terpaksa menerima kenyataan bahawa suaminya tidak meredakan kehadiran aku dalam keluarga mereka. Aku membuat keputusan untuk keluar dan mencari tempat untuk berteduh. Yati tahu aku tidak mempunyai apa-apa di luar sana. Dia tidak mahu aku mencari kawan-kawan lama aku dan kembali mengulangi kesilapan lalu. Dengan sebab itulah, Yati memberikan aku cek itu. Dia merayu kepadaku agar gunakan duit itu sebaik mungkin dan cuba ubah pandangan orang terhadapku.
“Epy, I want U to be a good person. Duit ni, U gunakan sebaik mungkin. Promise me” pesan Yati sambil memelukku.
“I will Yati. I takkan kecewakan U lagi. Restui perjalanan hidup I” kata-kata terakhir aku sebelum meninggalkan rumah Yati.
Aku melangkah mengikut gerak mataku. Tidak pasti kemana arah yang harus aku tuju. Arked Mara. Aku terpandang sebuah bangunan lama yang masih utuh dihuni peniaga-peniaga kecil. Di sinilah tempat aku selalu meluangkan masa dengan Hafiz dan Azri. Aku melangkah masuk ke dalam bangunan itu dan terus menaiki tangga. Aku mencari Cen Jamming Studio.